Recep Tayyip Erdogan. foto Anadolu Agency

ANKARA – Gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye minggu ini adalah tiga kali lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara di barat laut negara itu yang berlaku pada 1999, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu.

“Gempa bumi di selatan Turkiye adalah tiga kali lebih kuat dengan kerosakan lebih besar berbanding gempa bumi 1999 yang direkodkan sebagai bencana terbesar dalam sejarah negara,” kata Erdogan yang melihat sendiri misi mencari dan menyelamat di wilayah tenggara Diyarbakir.

Erdogan berkata sekurang-kurangnya 21,043 orang terbunuh dan 80,097 lagi cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye melanda pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

“Kini 160,000 anggota mencari dan penyelamat termasuk pasukan dari luar negara berada di 10 wilayah,” kata Erdogan yang turut bertemu mangsa gempa bumi di wilayah itu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Pemimpin Turkiye itu merakamkan penghargaan kepada semua negara yang menunjukkan solidariti dengan menghantar pasukan SAR.

Erdogan sebelum ini berikrar untuk membangunkan semula wilayah yang dilanda gempa bumi dalam rancangan setahunnya.

“Kami merancang untuk membina semula ratusan ribu rumah termasuk infrastruktur dan memulihkan bandar yang rosak akibat gempa bumi.

“Kerajaan  telah menggerakkan segala-galanya dan menggesa semua untuk yakin dan percaya bahawa kerajaan tidak akan meninggalkan rakyat hidup di jalanan dalam kesengsaraan atau kemiskinan,” katanya.

Erdogan kemudian melawat Sanliurfa. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast