Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Borang pendaftaran calon bagi Pemilihan UMNO 2023  boleh didapati di laman sesawang www.umno-online.my mulai hari ini.

Bagi calon-calon di peringkat bahagian boleh mengemukakan kembali borang yang telah lengkap ke bahagian masing-masing manakala calon bagi peringkat pusat perlu menghantar borang tersebut ke Auditorium Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn.

Borang tersebut boleh dihantar ke tempat yang dimaksudkan bermula 13 Februari manakala tarih terakhir untuk menyerahkannya adalah pada 26 Februari, lapor UMNO Online.

Para calon digalakkan untuk memuat turun panduan mengisi borang pendaftaran calon bersama bagi memudahkan para calon melengkapkannya.

Berhubung hal berkaitan, ahli-ahli UMNO adalah terikat dengan tataetika pemilihan UMNO sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

Untuk makluman, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – MalaysiaGazette