Pusat hiburan Sunset Boulevard, Berjaya Waterfront, Jalan Sultan Ibrahim, Stulang Laut yang terbakar malam tadi.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 150 pengunjung pusat hiburan Sunset Boulevard, Berjaya Waterfront, Jalan Sultan Ibrahim, Stulang Laut, di sini panik apabila premis berkenaan terbakar kira-kira jam 9,15 malam tadi,

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian, premis hiburan itu sedang beroperasi dan dipenuhi pengunjung.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nordatul Badrol Abd. Rahman berkata, seramai 36 anggota berserta 10 jentera dikejar ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran melibatkan papan tanda premis hiburan itu yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut.

“Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bumbung dan struktur bangunan menyebabkan kerosakan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan bangunan.

“Anggotanya bertindak memadam kebakaran itu menggunakan dua aliran air yang dipam keluar daripada jentera,” ujarnya sambil memberitahu operasi ditamatkan pada pukul 10.16 malam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast