Gambar hiasan

KLUANG – Polis menahan seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang dipercayai mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging di Paloh dekat sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, dalam insiden pada 1.40 tengah hari itu, suspek berusia 40-an tersebut berjaya ditenteramkan oleh orang awam dan polis kira-kira 10 minit kemudian.

“Polis menerima aduan awam yang melihat seorang lelaki mengamuk dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging. Lelaki itu kemudian berjaya ditenteramkan.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kemudian dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, tular sekeping gambar memaparkan dua lelaki berpakaian seragam dipercayai polis memujuk seorang lelaki yang memegang pisau pemotong daging dipercayai sedang mengamuk di Paloh. – BERNAMA