Pasukan polis menemui kubur di belakang sebuah rumah banglo di Subang yang dijadikan tempat menanam seorang lelaki India yang dibunuh.

SUBANG – Pasangan kekasih warga India yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan pembunuhan seorang lelaki rakan senegara mereka yang mayatnya ditanam di belakang sebuah banglo di sini disambung reman hari ini.

Ketua Polis daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, reman suspek lelaki berusia 30 tahun itu bersama kekasihnya yang juga isteri mangsa berusia 25 tahun itu telah disambung enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Sebelum ini pasangan kekasih warga India itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pasport dan ditahan semula serta direman selama seminggu bermula 4 hingga 11 Februari ini membantu siasatan.

“Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan pasangan itu disambung reman selama enam hari lagi bermula 12 hingga 17 Februari ini untuk melengkapkan kertas siasatan kes,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabikan kesalahannya.

Tambah beliau, tiga lagi suspek wanita yang terdiri daripada dua tempatan dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes ini telahpun dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua mereka, yang merupakan pekerja di rumah penjagaan orang tua di banglo itu telah selesai memberi keterangan.

Pada 5 Februari lalu,tembelang seorang lelaki warga India yang disyaki membunuh dan menanam mayat suami kekasihnya pada Mei 2022 di belakang sebuah banglo terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang awam berkaitan pengakuan yang dibuat suspek berkenaan minggu lalu.

Susulan itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas isteri mangsa dan kekasihnya juga warga India serta dua wanita tempatan selain seorang wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 35 tahun yang merupakan pekerja di pusat jagaan orang tua di banglo itu bagi membantu siasatan.

Suspek utama mengaku dalam siasatan awal polis bahawa mangsa yang mengetahui skandal bersama isterinya telah dibunuh dan dibalut dengan plastik sebelum ditanam di lereng bukit belakang rumah banglo itu.

Sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia mengenai kehilangan misteri mangsa selepas gagal simati gagal dihubungi ahli keluarganya di Tamil Nadu pada Mei tahun lalu sebelum pembunuhan itu berlaku.- MalaysiaGazette

Kantoi hubungan sulit, lelaki India bunuh suami kekasih – Polis