Khaled Afghanistan
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Tidak timbul isu pemimpin UMNO menjadi “lembu dicucuk hidung”dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya semua keputusan dibuat kerajaan adalah secara sepakat selepas melalui proses perbincangan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui, UMNO bukan parti yang menang majoriti pada pilihan raya lalu, oleh sebab itu parti itu tidak boleh membuat sesuatu keputusan mengikut kehendak sendiri.

“Perlu faham zaman ini ialah kerajaan campuran, jadi sudah tentu apa sahaja yang hendak dicapai bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama.

“Jika kita menang pilihan raya lalu dengan majoriti, lainlah, baru kita boleh buat sesuka kita, boleh capai keputusan tetapi hakikatnya kita bukan parti yang menang banyak tetapi kita hanya salah satu parti yang bentuk kerajaan.

“Tetapi, kalau kata kita jadi pak turut itu saya tidak setuju dan ia langsung tidak benar sama sekali kerana semua keputusan dibuat kerajaan adalah hasil perbincangan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Jahitan Komuniti Tasek 64 di Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian bagi dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa UMNO kini menjadi ‘pak turut’ kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang menafikan dakwaan itu berkata, Ismail Sabri boleh menzahirkan apa pun pandangannya, namun sepatutnya ia dibuat melalui saluran parti dan bukannya melalui media.

“Kalau kita mahu jawab semua dakwaan beliau memang kita boleh jawab, tetapi saya rasa media bukan tempatnya,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri mendedahkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, kepimpinan UMNO sering memberi tekanan kepadanya seolah-olah beliau bukan Perdana Menteri dari parti itu.

Ismail Sabri turut memberitahu UMNO ketika ini lebih banyak mengiyakan dasar-dasar dilaksana Kerajaan Perpaduan walaupun pada hakikatnya dasar itu tidak bersesuaian dilaksanakan.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.