GEORGE TOWN – Polis menahan 15 lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram menerusi Op Samseng Jalanan di beberapa lokasi ‘panas’ di negeri ini.
Tangkapan membabitkan dua hari termasuk awal pagi tadi itu dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah.
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kesemua 15 individu itu ditahan sekitar Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sama Gagah, Permatang Pauh, Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu (Seagate), Bayan Lepas serta Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR).
“Kumpulan motosikal ini dilihat melakukan aksi bersaing sesama sendiri, ‘superman’, zig-zag selain melawan arus.
“Aksi-aksi itu bukan membahayakan diri sendiri malah turut mengundang padah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan lumba haram yang tidak memberikan sebarang faedah selain membahayakan nyawa. – MalaysiaGazette