Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengambil ketetapan untuk menyokong kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Pendirian ini sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau merestui Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ia selepas percubaan untuk merampas kerajaan negeri itu menemui jalan buntu yang digelar Langkah Kinabalu gagal meraih sokongan.

Sebelum ini, krisis politik di Sabah kembali hangat selepas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Dalam pada itu, BN menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah. – MalaysiaGazette