Dr Mohd Na’im menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT – Konvoi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani Misi Bantuan Banjir akan diteruskan ke Pahang bagi membantu penduduk terjejas akibat banjir di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, konvoi berkenaan akan bergerak selepas misi bantuan di daerah Kluang dan Batu Pahat yang dijangka selesai hari ini.

Konvoi yang bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir ini melibatkan bantuan kira-kira RM1.5 juta.

“Sebagaimana saya pesan dengan agensi agama ini, kita perlu sentiasa cakna. Sebelum ini kita lancarkan konvoi ke pantai timur, begitu juga di Sabah kita bantu,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sri Medan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Jelas Mohd Na’im, konvoi kali ini melibatkan 23 kenderaan yang disertai 75 peserta dengan membawa 600 unit sumbangan yang terdiri daripada barangan keperluan serta peralatan pembersihan.

“Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan pula menyediakan set peralatan sekolah dan barangan makanan,” katanya

Sementara itu, Mohd Fared berkata, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menghalang usaha mana-mana pihak termasuk golongan selebriti membina masjid di negeri ini.

Mohd Fared yang menolak dakwaan usaha membina masjid itu berdepan halangan disebabkan perbezaan fahaman politik berkata, usaha itu perlu melalui prosedur tertentu termasuk kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Saya nak ucap terima kasih kepada rakan kita tersebut kerana beliau menunjukkan keprihatinan dan kematangan untuk berurusan dalam perkara ini. Saya yakin usaha baik beliau itu dapat kita bantu dan usaha menuju ke arah itu sedang dilakukan,” katanya.

Sebelum itu, pasangan selebriti Aeril Zafril dan Wawa Zainal berhasrat membina sebuah masjid di Rengit, Batu Pahat yang mempu memuatkan kira-kira 700 orang jemaah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast