Mayat seorang lelaki yang maut dipercayai ditetak dan dihumban ke dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam. Gambar ihsan: PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui maut dipercayai ditetak sebelum mayatnya dihumban ke dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, dekat sini, semalam.

Mangsa yang dipercayai warga tempatan itu ditemui orang awam yang melalui lokasi kejadian sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemeriksaan yang dilakukan turut menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terjunam ke dalam tasik tersebut.

“Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna hitam dan berseluar jeans serta bertali pinggang.

“Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tetak di bahagian kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh seorang lelaki yang sedang memancing pada jarak lebih kurang tiga meter di lokasi kejadian kira-kira pukul 8 malam.

Ujarnya, saksi menghampiri objek berkenaan dan mendapati objek tersebut merupakan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian.

Dia kemudiannya menghubungi balai polis Cyberjaya untuk tindakan lanjut, katanya

“Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette