Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin

KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan individu termasuk dalang utama sindiket Skim Simpanan Sapiza Saving Extra (SSE) pada 27 Januari lalu.

Setiausaha Polis Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dibuat di sekitar ibu negara, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 31 hingga 37 tahun.

“Turut dirampas dalam serbuan itu sebuah kenderaan mewah, kad-kad ATM (mesin pengeluaran automatik), telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai dokumen yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya, sehingga ini sebanyak 116 laporan polis telah diterima berhubung sindiket terbabit dan melibatkan kerugian berjumlah lebih RM4 juta.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, skim itu telah mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan permainan kutu.

Bagaimanapun katanya, bermula 2021, skim tersebut mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu serendah RM250 sehingga RM20,000 dengan merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan.

Ujarnya, sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah wang yang disimpan.

“Namun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati telah mula gagal melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.

Sehubungan beliau berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Katanya, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BN) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana skim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast