Pengurus stor dan akauntan syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd. dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta.

JOHOR BAHRU – Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., pengurus stor dan akauntannya dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Keputusan itu diputuskan Hakim Fatimah Zahari selepas ketiga-tiga tertuduh iaitu syarikat yang diwakili Pengarahnya, Yong Chee Keong, 42; pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dan akauntan, Ng Yee Xin, 39, membayar kompaun keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Difahamkan, mereka membuat pembayaran kompaun tersebut, semalam.

Bagaimanapun, empat pertuduhan melibatkan seorang lagi pengarah syarikat iaitu Tan Siew Huak, 44, masih kekal kerana statusnya tidak diketahui.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan kesemua tertuduh, masing-masing didakwa menerima wang tuna berjumlah RM446,517.19, RM6.75 juta, RM2.78 juta dan RM3.37 juta membabitkan nilai keseluruhan RM13.28 juta, yang juga adalah hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik LY Frozen Food Sdn. Bhd.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala kesemua tertuduh Siew Huak diwakili Peguam, Zamri Idrus.

Mahkamah juga memberitahu keputusan berhubung 21 pertuduhan terhadap syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd dan dua orang pengarah iaitu Chee Keong dan Siew Huak serta pengurusnya, Kim Kuang akan diketahui pada 22 Februari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mengguna, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu serta menggunakan logo halal tanpa kelulusan daripada badan persijilan halal Australia.

Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang beralamat di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai antara 1 hingga 3 Disember 2020.

Disebabkan kesalahan dilakukan mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pada 2 Disember 2020, media melaporkan syarikat pembekal daging sejuk beku itu aktif menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina membungkus semula daging terbabit menggunakan logo halal palsu sebelum dijual ke pasaran seluruh Malaysia.

Syarikat berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu selama beberapa tahun dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi membuat label dan cap palsu pada kotak daging yang dibungkus semula.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria. – MalaysiaGazette