Pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat mencari seorang lagi mangsa yang masih belum dijumpa sehingga kini. Gambar ihsan: PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan terhadap ibu bapa dua kanak-kanak yang lemas dihanyutkan arus deras setelah terjatuh dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan dilakukan bagi mengetahui kemungkinan berlakunya pengabaian melibatkan kedua-dua mangsa.

Katanya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan terhadap ibu-bapa kepada mangsa dilakukan di bawah seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, pihaknya menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak dengan tidak membiarkan mereka bermain tanpa pengawasan yang akan mendatangkan bahaya.

Semalam, kegembiraan dua kanak-kanak lelaki yang sedang bermain berhampiran longkang bertukar tragedi apabila mereka terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa berumur 10 tahun telah berjaya ditemui anggota bomba yang menjalankan usaha mencari dan menyelamat manakala seorang lagi mangsa berumur lapan tahun masih belum ditemui setakat ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast