Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Kehilangan bungkusan-bungkusan yang diletakkan dalam peti surat di sebuah pangsapuri di Taman Nirwana, Ampang, dekat sini, terjawab dengan tertangkapnya seorang tukang kebun pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulaan penyedia khidmat kurier e-dagang menghubungi pengadu untuk menghantar bungkusan barangan yang dibelinya secara dalam talian kira-kira jam 1.20 tengahari Khamis lalu.

“Pengadu bagaimanapun telah menyuruh kurier tersebut agar meletakkan parcel barangan yang dibeli di atas meja yang disediakan di lobi lif rumah pangsapuri tersebut kerana ketika itu pengadu tiada di rumah.

“Pada jam lebih kurang 7.30 malam pada hari kejadian semasa pengadu sampai di lobi rumah untuk mengambil parcel tersebut terkejut selepas mendapati parcel barangan milik pengadu tiada di situ disyaki telah dicuri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah beliau, bertindak atas laporan polis daripada pengadu pada jam 4.50 petang Jumaat lalu sepasukan polis Balai Ampang membuat tangkapan ke atas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kecurian itu.

Katanya, lelaki yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun dengan sebuah syarikat swasta yang ditempatkan di pangsapuri tersebut ditahan Kampung Pandan Dalam, di sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek polis berjaya merampas dua bungkusan parcel milik pengadu yang telah hilang dicuri suspek.

“Kandungan dua parcel adalah mata pen IPad dan alatan penjagaan kulit yang keseluruhan berjumlah RM130.

“Siasatan mendapati suspek baru sebulan bekerja sebagai tukang kebun bersama sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya dan suspek mempunyai satu rekod lampau dadah,” ujarnya.

Jelas beliau, hasil ujian air kencing suspek turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamin dan Amphetamine.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah menyasarkan bungkusan yang diletakkan di peti surat di sesebuah kediaman.

Katanya, suspek direman selama empat hari sehingga 14 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan mencuri.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan juga boleh dikenakan sebatan jika kesalahan berulang kali kedua.-MalaysiaGazette