Seorang ibu bersama anaknya menunggu bantuan tiba selepas kediaman sekitar dikosongkan pada hari ketujuh gempa bumi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Adiyaman, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2023.

 

ANKARA – Turki mengeluarkan sebanyak 113 waran tangkap berhubung pembinaan bangunan yang runtuh di kawasan gempa bumi baru-baru ini.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 individu termasuk termasuk kontraktor bangunan ditangkap.

Jumlah mangsa yang disahkan meninggal dunia di Turki dan Syria telah meningkat kepada lebih 33,000 orang.

Lebih banyak tangkapan dijangka dilakukan namun tindakan itu akan dilihat oleh banyak pihak sebagai cubaan untuk mengalihkan kesalahan keseluruhan terhadap bencana itu.

Selama bertahun-tahun, pakar memberi amaran anyak bangunan baharu di Turki tidak selamat disebabkan rasuah endemik dan dasar kerajaan.

Dasar tersebut membenarkan kontraktor yang melanggar peraturan bangunan, untuk menggalakkan ledakan pembinaan, termasuk di kawasan yang terdedah kepada gempa bumi.

Beribu-ribu bangunan runtuh semasa gempa bumi itu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kesan bencana alam itu diburukkan lagi oleh kegagalan manusia.

Dengan pilihan raya yang semakin hampir, masa depan presiden berada dalam keadaan genting selepas 20 tahun berkuasa.

Memasuki hari keenam selepas gempa melanda, keadaan semakin terdesak.

Pada hari Sabtu, penyelamat Jerman dan tentera Austria menghentikan operasi mencari kerana pertempuran antara kumpulan yang tidak dinamakan di wilayah Hatay.

Keselamatan dijangka bertambah buruk apabila bekalan makanan semakin berkurangan, kata seorang penyelamat.

“Terdapat pencerobohan yang semakin meningkat antara puak di Turki,” kata Leftenan Kolonel Austria Pierre Kugelweis.

Namun, operasi pencarian mangsa yang terselamat diteruskan di bawah perlindungan tentera Turki.

Di seluruh selatan Turki dan utara Syria, berjuta-juta kehilangan tempat tinggal dan suhu terus menurun di bawah paras beku setiap malam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula telah memberi amaran bahawa lebih 800,000 orang tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

Malah, jumlah kematian terakhir akibat gempa itu berkemungkinan meningkat dua kali ganda.

Di Syria, jumlah kematian kini mencecah lebih 3,500 – tetapi angka baharu belum diterbitkan sejak Jumaat.

Pada hari Ahad, jumlah kematian di Turki meningkat kepada lebih 29,000. – Agensi