Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran kepada penjual dan pengedar dua produk yang dikesan mengandungi jadual berjadual merkuri supaya menghentikan penjualannya serta merta.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, produk berkenaan adalah Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream.

Justeru kementerian tersebut berkata, dua produk ini tidak lagi dibenarkan dijual.

“Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” kata KKM menerusi kenyataan.

Jelas kementerian berkenaan, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujar KKM.

Sebagai rekod, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan dan boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain boleh mengakibatkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.-MalaysiaGazette