Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin sewaktu perasmian Sasana Niaga di Kampus Induk UTeM, Melaka baru-baru ini.

PADA masa kini, graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bukan lagi graduan picisan yang mengharapkan kerja makan gaji semata-mata selepas bergraduat.

Fenomena ini boleh dibanggakan kerana ianya telah menjadi penyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan-usahawan graduan IPT seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Mereka turut menjadi tunjang utama yang memainkan peranan signifikan membantu penjanaan pembangunan holistik yang positif kepada masyarakat setempat. Lebih-lebih lagi dengan penekanan yang diberikan kepada keusahawan sosial sebagai enjin kepada pemacu ekonomi negara.

Selari dengan reformasi budaya kerja yang akan memberi impak penyelesaian pelbagai permasalahan dalam komuniti dan bukan sekadar menjana keuntungan daripada modal atau pelaburan semata-mata.

Kewujudan ekosistem keusahawanan sosial masa kini menatijahkan objektif keusahawanan berasaskan keuntungan bersama, hasrat meningkatkan keprihatinan kepada komuniti dan golongan yang kurang bernasib baik. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh syarikat permulaan berasaskan keusahawanan sosial sedikit sebanyak membuka mata masyarakat dan kerajaan.

Dalam usaha memperkasakan usahawan sosial ini, semestinya kerjasama secara kolektif diperlukan antara kerajaan dan usahawan. Dalam aspek penerokaan peluang atau penyediaan platform, pihak kerajaan boleh mengenal pasti peluang-peluang yang wujud di persekitaran yang tidak dimanfaatkan ataupun tidak diketahui oleh para usahawan yang mampu membantu mereka melonjakkan ekonomi.

IPT di Malaysia memikul obligasi yang besar dalam mengarusperdanakan keusahawanan sosial ini. Strategi yang boleh diadaptasi antaranya ialah dari aspek pembudayaan nilai dan aspek keusahawanan sosial yang wajar diterapkan dari peringkat akar silibus pembelajaran mahasiswa.

Perkara ini sebenarnya selari dengan apa yang diungkapkan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapan perutusan tahun baharu 2023.

Menginterpretasikan swadaya beliau dalam memanifestasikan reformasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan mahasiswa yang kompetitif dan berpotensi sebagai usahawan yang berjaya.

Berikan mahasiswa kita kepercayaan dan mandat untuk membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan dan merencana sendiri cara mereka bekerja dan memperjuangkan agenda mahasiswa.

Selain itu, peluang atau platform yang disediakan oleh pihak Universiti turut menjadi langkah yang pragmatik dalam membudayakan keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa.

Misalnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), pihak universiti telah membangunkan Sasana Niaga yang mana unit-unit kedai jualan disediakan untuk mahasiswa bagi membangunkan perniagaan dan menguruskannya sendiri.

Apa yang menarik, setiap perniagaan harus bekerjasama dengan syarikat dari alumni-alumni UTeM.

Selain membuka peluang kepada alumni untuk menjalankan perniagaan dalam universiti, secara tidak lansung para alumni ini menjadi mentor kepada mahasiswa yang menguruskan perniagaan tersebut.

Begitu juga dengan konsep Pasar Malam UTeM, yang mana pihak universiti menetapkan syarat bahawa para peniaga yang ingin berniaga dalam pasar malam UTeM harus mengambil mahasiswa UTeM sebagai pekerja.

Platform seumpama inilah yang mampu menerapkan budaya dan semangat keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa apabila mereka bergraduasi nanti.

Sebagai salah satu dari empat Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UTeM sentiasa fokus menjadi nadi utama negara dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkelas dunia.

Oleh kerana itulah, keusahawan teknikal dalam kalangan graduan turut menjadi matlamat dalam menzahirkan UTeM sebagai pengeluar usahawan teknikal yang utama.

Keusahawanan teknikal adalah bidang keusahawanan yang bersandarkan kepada kemahiran TVET yang mengadaptasi kepakaran teknikal dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan.

Secara konotasinya, kita dapat melihat Kerajaan Malaysia turut memandang serius dalam memperkasakan keusahawanan teknikal ini.

Hal ini diterjemahkan melalui inisiatif Program Pembangunan Usahawan Teknikal atau ringkasnya PUTEK yang merupakan kemudahan pembiayaan kepada generasi muda untuk memulakan perniagaan dalam bidang teknikal yang berasaskan kepada kemahiran yang dimiliki.

Kemudahan yang ditawarkan adalah dalam bentuk padanan geran yang merangkumi 60 peratus pembiayaan dan 40 peratus geran. Betul la sebagaimana yang diungkapkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang juga merupakan alumni UTeM, berikrar untuk terus memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Saya percaya, itu menjadi sebahagian daripada fokus kementerian, bukan hanya koperasi, malah PKS berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perdagangan digital di Sabah dan Sarawak akan diperkasakan lagi dan menatijahkan betapa keusahawanan digital dan TVET ini sebenarnya menjadi misi dan visi yang penting dalam tunjang pembangunan negara.

Justeru, UTeM percaya perlunya integrasi antara keusahawanan teknikal dan sosial ini bagi mendapatkan manfaat yang optimum kepada masyarakat.

Bagi tujuan menyedarkan mahasiswa akan kepentingan memanifestasikan integrasi keusahawanan teknikal dan sosial ini, tanggungjawab tidak hanya perlu dipikul pada bahu pihak KPT semata-mata.

Ianya tanggungjawab holistik melibatkan penglibatan ibu bapa, guru-guru serta setiap anggota masyarakat untuk membawa naratif kesedaran keusahawan sosial dan teknikal ini.

Tiada yang mustahil dalam menggapai cita-cita menzahirkan integrasi keusahawanan teknikal dan soial ini untuk mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Sedangkan batu yang keras mampu dipecahkan air yang tidak bertulang jika berterusan ditimpa.

Begitulah jua sokongan semua pihak haruslah diberi secara berterusan kepada mana-mana mahasiswa atau graduan yang ingin menceburi dalam bidang keusahawanan sosial atau teknikal terutamanya apabila masih kurang graduan yang berani menceburi bidang keusahawanan sosial dan teknikal yang ghalibnya dianggap kurang populis kerana sering mendapat stigma negatif dari masyarakat.

Integrasi keusahawanan teknikal dan sosial dalam kalangan graduan ini adalah satu perjalanan yang berterusan bukan seperti menuju sebuah destinasi yang berpenghujung.

Namun hikmah di sebalik ujian serangan COVID-19 ini, kita dapat melihat perpektif keusahawanan teknikal dan sosial dalam kalangan masyarakat lebih positif yang sememangnya memberikan seribu satu manfaat dalam mempersiapkan minda masyarakat untuk memandang kejayaan secara futuristik. – MalaysiaGazette

Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast