Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menempelak Pas Selangor kerana mengaitkan isu pendigitalan cukai jalan dengan masalah bahan mentah dan keperluan utama rakyat.

Beliau dalam masa yang sama menyifatkan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir tidak faham tentang pemisahan kuasa kementerian yang berbeza dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Pemimpin Pas nampaknya memang tak patut jadi kerajaan. Pemisahan bidang kuasa kementerian pun tidak faham.

“Takkanlah nak tunggu selesai isu harga barang baru MoT (Kementerian Pengangkutan) selesaikan isu pelekat cukai jalan? Kementerian lain-lainlah. Benda basic. Simple. Sesiapa pun boleh faham,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada veteran DAP, Lim Kit Siang menerusi Twitter.

Semalam, Roslan dilaporkan mempersoalkan kepentingan pembaharuan cukai jalan dan lesen digital yang Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

Beliau turut mempertikaikan kaedah tersebut yang hanya menimbulkan lebih banyak masalah daripada memudahkan urusan.

Tambah Roslan isu bekalan telur, harga minyak dan bahan mentah yang lain termasuk kos sara hidup rakyat yang lebih kritikal sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.- MalaysiaGazette