ketua pembangkang Lim Kit Siang rasuah PRN
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan mengapa bukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Pertanyaan itu merupakan salah satu daripada empat soalan yang dikemukakannya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum memulakan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang-Pertuan Agong di Dewan Rakyat esok.

Bagi soalan kedua, Kit Siang bertanya sama ada pembangkang akan menggunakan platform Parlimen untuk menyebarkan politik penipuan, fitnah, berita palsu, sentimen perkauman dan keagamaan.

“Adakah mereka akan mengulangi penipuan dan fitnah seperti mengatakan kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, komunis dan mempromosikan Islamofobia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk soalan ketiga, beliau bertanya sama ada pembangkang akan memberikan sokongan penuh kepada semua langkah untuk mempromosikan tadbir urus baik, usaha membanteras rasuah, menjamin kebebasan badan kehakiman dan menjaga kebajikan rakyat.

“Persoalan keempat, adakah Parlimen ke-15 ini akan digunakan oleh pembangkang untuk merangka satu lagi konspirasi politik seperti Langkah Sheraton untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dan membawa masuk pula kerajaan ‘pintu belakang’ yang ketiga,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang menyifatkan sidang Parlimen kali ini amat penting untuk Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, ia akan menjadi ujian kepada blok pembangkang yang terdiri daripada 74 Ahli Parlimen dari segi kemampuan mereka mempromosikan perpaduan dalam masyarakat majmuk dan mengembalikan kedudukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Kit Siang menambah, Kerajaan Perpaduan juga bermula dengan baik sepanjang 52 hari pertama memerintah dengan memenuhi janji-janji Anwar bahawa beliau tidak akan berkompromi mengenai tadbir urus baik, usaha membanteras rasuah, kebebasan badan kehakiman dan kebajikan rakyat.

“Kini adalah masa untuk menterjemah harapan-harapan ini menjadi realiti, bagaimana untuk mencapai perpaduan negara dari kepelbagaian etnik, bahasa, agama, budaya dan tamadun yang bertemu di Malaysia.

“Dan untuk menetapkan semula dan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia yang dipandu oleh prinsip-prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, antirasuah dan sistem ekonomi, pendidikan, dan sosial yang bertaraf global,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.