Penguat kuasa MAQIS, memeriksa pelbagai hasil pertanian antaranya cili segar dan buah limau yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia ketika pemeriksaan di Terminal ICQS di Muara Sungai Melaka, semalam.

MELAKA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Melaka berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pelbagai hasil pertanian secara tidak sah dari negara jiran di sini semalam.

Ia dirampas daripada individu yang masuk ke negara ini melalui Terminal Feri Antarabangsa, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Muara Sungai Melaka dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia.

Pengarah MAQIS Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, tindakan itu terbongkar hasil pemeriksaan  penguat kuasa MAQIS ke atas beg pakaian yang dibawa individu terbabit sebelum menemukan barangan pertanian seperti cili segar dan buah limau.

“Semua barangan itu disembunyikan dalam bagasi pakaian yang diisi dalam beg plastik sebelum diperiksa Pegawai Penguat Kuasa MAQIS.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia atas kesalahan cubaan membawa masuk barangan pertanian tanpa sebarang dokumen pengimportan seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Fitosanitasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nora Dinah, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran hasilan pertanian tanpa permit import MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS menasihatkan semua penumpang feri dari negara luar yang ingin membawa masuk produk-produk pertanian perlulah sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette