Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), melalui Zon Maritim Mersing hari ini menerima lawatan kerja daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Mersing bagi membincangkan takwim pengoperasian bersama bertempat di Pejabat Zon Maritim Mersing semalam.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Mersing akan bekerjasama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan bagi memperkukuhkan dan meningkatkan nilai tambah serta produktiviti perkhidmatan dalam usaha memerangi permasalahan terutamanya komuniti maritim setempat.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, lawatan kerja rasmi itu bertujuan untuk membincangkan takwim pegoperasian antara Maritim Malaysia dan AADK Daerah Mersing.

“Selain itu tujuan perjumpaan ini adalah untuk mengeratkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah AADK Daerah Mersing, Puan Zaleha Abdullah dan Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Daerah Mersing, Jamian Mansor. – MalaysiaGazette