Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga gerai makanan ditahan polis kerana disyaki memukul dan menendang seorang lelaki yang membuat bising di Pandan Court, Ampang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu  mangsa didatangi suspek dikenali sebagai Amirul yang menumbuk mukanya sehingga mengakibatkan kecederaan pada rahang.

“Semasa kejadian, mangsa bersama anak buahnya sedang bersembang dengan seorang wanita yang berniaga di lokasi kejadian,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati, punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati dan naik angin selepas mangsa dikatakan membuat bising serta memarahi dengan suara kuat anak buah mangsa berhampiran gerai milik suspek

“Suspek yang berang dengan tindakan mangsa bertindak menumbuk dan menendang pengadu sebanyak tiga kali, namun tiada senjata digunakan dalam kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat dan laporan polis mangsa, sepasukan polis dari IPD Ampang Jaya telah berjaya menahan suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun pada hari yang sama selepas insiden itu.

“Semakan polis mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing negatif daripada sebarang jenis dadah,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, suspek kini direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette