35 Pati warga Nepal dan Myanmar ditahan dalam serbuan di Taman Nagasari, Pulau Pinang semalam.

SEBERANG PERAI – Kawasan perumahan di Taman Nagasari, di sini, yang menjadi lokasi tumpuan bagi penempatan warga asing digempur pihak berkuasa, semalam.

Operasi selama empat jam bermula jam 3 petang itu membawa kepada tangkapan 35 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Nepal dan Myanmar.

Selain itu,  dua warga asing yang mempunyai kesalahan jenayah turut diberkas dalam operasi sama.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan yang tular di media sosial membabitkan isu ketenteraman awam dan kebanjiran warga asing di taman perumahan tersebut.

Serbuan dibuat susulan kebimbangan orang awam penempatan itu dibanjiri warga asing.

“Hasil daripada operasi ini, sebanyak dua tangkapan kes jenayah dan 35 Pati ditahan.

“Kehadiran warga asing di kawasan tersebut dikatakan telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat,” katanya hari ini.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi tersebut termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Difahamkan taman perumahan tersebut dibanjiri warga asing apabila beberapa unit rumah dijadikan asrama pekerja. – MalaysiaGazette