Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Tiga suspek yang terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan samun dengan bersenjatakan parang ke atas seorang kerani wanita akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, antara suspek yang dicekup dalam kejadian di kawasan USJ 9 itu adalah seorang wanita.

Pada kejadian pada Ahad lalu, pengadu seorang kerani berusia 43 tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat atas rumah sebelum dikejutkan oleh suspek lelaki.

“Suspek kemudian mengacukan parang serta mengikat tangan kerani wanita itu dengan wayar pengecas telefon sebelum suspek turut mengikat tangan ayah pengadu dan membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah.

“Manakala rakan sejenayah suspek, seorang wanita telah mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika di tingkat bawah dan seterusnya kedua-dua suspek telah mengeledah rumah dan mengambil barangan berharga berupa barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, kedua-dua suspek itu kemudian  melarikan diri dengan kereta jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti yang dipandu oleh suspek lelaki yang menunggu di hadapan rumah pengadu.

Katanya, anggaran kerugian yang dialami perempuan kerani itu dalam insiden samun berkenaan adalah keseluruhannya berjumlah RM7,000.

Jelas Wan Azlan, siasatan awal mendapati suspek disyaki dua lelaki dan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 30-an manakala suspek lelaki India berpakaian jaket warna coklat, seluar jeans biru dan memakai pelitup muka sementara kedua-dua suspek memakai sarung tangan.

“Hasil siasatan mendapati suspek memanjat tembok bahagian tepi rumah dan masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.

“Siasatan di tempat kejadian dibantu oleh Forensik Selangor telah berjaya mengambil beberapa sampel calitan untuk profiling bagi tujuan pengenalpastian identiti suspek. Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran sedang diteliti untuk membantu siasatan.

“Pada Ahad (hari sama kejadian), sepasukan polis dari D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor bersama D9 Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya telah membuat dua serbuan di kawasan Klang dan Kuala Langat sebelum berjaya menahan suspek seorang lelaki berumur 31 tahun dan seorang wanita berumur 26 tahun yang disyaki terlibat dalam jenayah samun rumah bersenjata parang itu,” katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas semua suspek polis berjaya merampas barang kes berupa sebuah kereta, dua unit telefon bimbit, seunit tablet, pakaian, dokumen diri dan beg yang berkaitan dengan kes ini.

Wan Azlah juga memaklumkan hasil daripada tangkapan dan rampasan berkenaan pihaknya berjaya menyelesaikan 1 kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah.

“Polis akan meneruskan soal siasat ke atas kesemua suspek dan percaya suspek terlibat dengan kes-kes jenayah samun yang lain serta permohonan reman untuk kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dipohon bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 395 / 397 KK (Akta 574) iaitu rompak berkumpulan dengan bersenjatakan parang yang memperuntukkan seksaan dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pihak polis menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Anthony John di talian 016-2093470. – MalaysiaGazette