SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang tiga daripadanya dakwaan menyalahgunakan wang peruntukan dan memalsukan dokumen Minit Mesyuarat Belia Kampung Kuantan Utara (BKKU).
Atas enam pertuduhan itu, beliau dikenakan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin.
Hakim Mahkamah Majistret 1 Shah Alam, Datuk Rozilah Salleh turut mengarahkan Azhari menyerahkan passport antarabangsanya kepada mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan bagi tuduhan pertama, beliau pada 8 September 2017 sebagai penandatangan tunggal akaun Bank Rakyat cawangan Pelabuhan Klang secara tidak jujur telah menyalahgunakan wang peruntukan Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dalam Parlimen Shah Alam berjumlah RM120,000 yang diluluskan kepada Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur.
Bagi kesalahan kedua, Azhari didakwa melakukan kesalahan sama dengan wang peruntukan berjumlah RM120,000 bagi Program Korban Perdana DUN Kota Anggerik dalam Parlimen Shah Alam pada 8 September 2017.
Kesalahan ketiga dakwaan menyalahgunakan wang peruntukan bagi Program Sumbangan Pakaian Sekolah Anak-Anak Yatim anjuran Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara pada 27 September 2017 berjumlah RM200,000.
Bagi tiga kesalahan itu, beliau dituduh masing-masing mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan sebat atau boleh juga dikenakan denda.
Azhari yang diwakili peguam kemudian membayar jaminan tersebut oleh isterinya dan seorang rakannya.
Pada masa sama, bagi tuduhan keempat dan kelima, beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Penaja BKKU didakwa memalsukan dokumen iaitu Minit Mesyuarat Agung Tahunan BKKU 2009/2010.
Manakala kesalahan keenam, beliau selaku Ahli Jawatankuasa Penaja Belia Bersatu Taguh Shah Alam (BBTSA) didakwa memalsukan Minit Mesyuarat Agung Tahunan BBTSA 2009/2010.
Kesalahan itu dilakukan masing-masing pada tarikh 19 Mei 2010 di Bank Rakyat cawangan Pelabuhan Klang.
Bagi tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 465 KK boleh dipenjarakan selama tempoh tidak boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette