LONDON – Salah seorang individu terkaya di dunia, Elon Musk dilaporkan berminat untuk membeli pegangan majoriti dalam Manchester United, lapor MailSport.
Dia yang berada di kedudukan kedua dalam senarai manusia terkaya di belakang Bernard Arnault dikatakan bersedia untuk mengemukakan bidaan pengambilalihan bernilai £4.5 bilion daripada keluarga Glazer.
United kini dalam peringkat untuk dijual oleh keluarga Glazer, sama ada secara penuh ataupun sebahagian besar pegangan saham untuk menjadi rakan kongsi baharu.
Perkara itu telah menarik perhatian Musk untuk melabur dalam kelab yang memiliki 20 gelaran Liga Perdana Inggeris.
Pada Ogos 2022, Musk pernah menyatakan dia mahu membeli Manchester United, tetapi dia kemudian menjelaskan itu cuma gurauan.
Kali ini, nadanya berbeza kerana pemilik Tesla itu benar-benar serius mahukan United dan telah memantau secara rapi perkembangan di Old Trafford berkaitan dengan potensi pembeli kelab itu.
Sementara itu, pihak Glazer sendiri telah menetapkan tarikh akhir kepada bakal pelabur baharu untuk menyerahkan tawaran prospektif pada 17 Februari ini.
Musk bukannya calon tunggal untuk bidaan tersebut.
Sebelum ini, orang terkaya England, Sir Jim Ratcliffe, secara terbuka menunjukkan minat serius untuk membeli United daripada Glazers.
Dalam laporan lain menyebut beberapa pelabur Amerika Syarikat dan kumpulan pelabur yang berpangkalan di Qatar juga bersedia untuk membuat bidaan.
Seterusnya, terdapat juga laporan menyatakan konsortium Arab Saudi juga berminat mendapatkan Manchester United. Langkah itu secara terbuka disokong oleh kerabat diraja Saudi baru-baru ini. – MalaysiaGazette