KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob rasa terharu dengan titah penghargaan Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat semalam.
Menerusi Facebook, Ahli Parlimen Bera itu meluahkan rasa terharu terhadap titah penghargaan Seri Paduka mengenai kerja keras kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya sebelum ini.
“Negara yang bernaung di bawah kebijaksanaan Tuanku ini akan terus menapak gagah di tangga-tangga kejayaan andai dipimpin oleh tangan yang cintakan kejayaan serta memelihara Perlembagaan dengan penuh ketekunan dan juga integriti.
“Daulat Tuanku, Patik sentiasa doakan rahmat dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada payung rakyat yang menjadi kebanggaan Keluarga Malaysia, dulu kini dan selamanya,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kejayaan yang dicapai bukanlah datang dari hasil usahanya sendiri sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Kejayaan hari ini, tidak datang dengan mudah seperti yang dibayangkan. Ia adalah berkat kerja keras, muafakat dan keyakinan setiap jabatan dan institusi serta ketekunan setiap Keluarga Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini sejak bangkit dengan gahnya dari pandemik Covid-19,” ujarnya.
Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 semalam dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam titah diraja, Seri Paduka mengingatkan kepada semua ahli Parlimen supaya menumpukan usaha dalam memastikan kestabilan yang diimpikan dapat dicapai sepenuhnya. – MalaysiaGazette