Tangkap layar menunjukkan kereta suspek melanggar anggota polis sebelum membuat pusing U di Jalan Baru, Perai, Pulau Pinang semalam.

SEBERANG PERAI – Cubaan seorang lelaki melarikan diri susulan melanggar anggota polis yang sedang melalukan rondaan cegah jenayah di Jalan Baru, di sini, gagal selepas dia diberkas polis semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu berlaku selepas anggota polis cuba menahan kereta suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia awal 40-an itu dikatakan tidak memberhentikan kenderaannya sebelum bertindak melanggar motosikal anggota tersebut hingga mengakibatkan dia terjatuh.

“Susulan itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga itu membuat pusingan U selain memandu melawan arus bagi mengelakkan daripada ditahan.

“Namun, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Cheng San, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa senjata berbahaya di dalam kereta suspek selain sejumlah dadah.

“Suspek masih dalam tahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial menunjukkan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu melanggar sebuah motosikal sebelum suspek mengundur kereta dan memandu secara melawan arus untuk meloloskan diri. – MalaysiaGazette