Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN – Machang) membuat kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pandan berkata, Wan Ahmad Fayhsal perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PH.

“Peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

“(Ahli Parlimen) Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ini (janji) menghapuskan PTPTN itu satu pembohongan kerana tak ada janji itu dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Perkara itu pembohongan yang jatuh kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Bertindak demikian, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor meminta Rafizi agar mengemukakan usul berkenaan secara bertulis.

Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, rakyat perlu menerima hakikat  pelaksanaan untuk memansuhkan hutang PTPTN tidak selari dengan keupayaan kerajaan buat masa ini.

“Buat masa ini, kerajaan belum mempunyai perancangan memansuhkan pinjaman hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isu rumah B40.

“Untuk maklumat, berdasarkan unjuran angaran awal PTPTN jika cadangan pemansuhan pinjaman hutang bersasar golongan miskin dan isi rumah B40 akan melibatkan 1.84 juta pemimjam dengan jumlah pemansuhan pelupusan sebanyak RM42.34 bilion.

“Bagaimanapun kerajaan sentasa prihatin dan memberi perhatian kepada kebajikan pemimjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman sehingga kini,” katanya.

Terdahulu Khaled menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal yang ingin tahu sama ada Kerajaan Perpaduan mahu memansuhkan hutang PTPTN kepada pelajar golongan B40.

“Apakah kerajaan ada iltizam politik untuk benar-benar memansuhkan hutang PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Kita maklum Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merupakan antara aktivis yang benar-benar memperjuangkan isu PTPTN,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Khaled berkata, sekiranya pelaksanaan ini dibuat ia akan melibatkan satu jumlah yang begitu besar.

“Mungkin ada parti-parti politik yang membuat pelbagai janji tapi kita tahu kerajaan sedia ada adalah kerajaan campuran dan kita buat keputusan kita hanya ambil manifesto mempunyai perkara sama serupa.

“Kita dapati semua parti politik tidak menawarkan semua perkara sama apabila berkait soal PTPTN, soal ini saya berharap kita menerima hakikat iaitu penting dalam bercakap ptptn perlu melihat keupayaaan dan kelangsungannya,” katanya menjawab pertanyaan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.