Shahrul Nizam Yunos

KUALA LUMPUR – Menjelang pembentangan Bajet tidak lama lagi, kerajaan disaran supaya menyediakan peruntukan khas agar program-program yang menggalakkan perpaduan dapat dilaksanakan.

Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Datuk  Shahrul Nizam Yunos berkata, rakyat dalam negara perlu disatukan agar tidak berpecah belah.

“Kita meminta kalau boleh kerajaan menyediakan satu peruntukan kepada perpaduan. Kepada aktiviti-aktiviti melibatkan perpaduan.

“Nama pun Kerajaan Perpaduan. Kita harus memperbanyakkan program perpaduan,” katanya ketika ditemui semasa Program Serahan Toybank Prihatin kerjasama Rumah Prihatin, MN dan peniaga-peniaga di Hospital  Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur).

Jelas beliau, kesepaduan dalam kalangan rakyat dilihat semakin terhakis akibat perbezaan ideologi dan pendirian.

Sehubungan itu kata Shahrul, program-program kesedaran terhadap pentingnya semangat perpaduan perlu ditingkatkan.

“Rakyat sudah terpecah dari segi ideologi, politik tapi dengan adanya pelbagai program di peringkat kebangsaan ianya boleh meningkatkan semangat perpaduan,” tambah beliau.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Bajet 2023 pada 24 Febuari ini.

Ujar beliau, tumpuan Kerajaan Perpaduan adalah memastikan defisit negara berkurang dalam masa sama rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup. – MalaysiaGazette