MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang bekas Menteri Kewangan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan Pandora Papers, mengenai penyimpanan harta berjumlah berbilion ringgit di luar negara.

Difahamkan, SPRM telah memanggil dan merakam keterangan daripada bekas Menteri Kewangan itu di Ibu Pejabat suruhanjyta tersebut di Putrajaya semalam.

Sumber SPRM juga difahamkan bahawa kekayaan itu diperolehi daripada syarikat perkhidmatan offshore (pesisir).

SPRM juga dipercayai mengambil keterangan daripada bekas Menteri Kewangan itu untuk mengetahui aliran dan jejak kewangan membabitkan 12 syarikat pesisir miliknya dan keluarga yang disyaki memiliki kekayaan luar biasa.

Siasatan SPRM turut tertumpu kepada pelbagai sudut bagi menjejaki aset-aset dan pelaburan yang dikaitkan dengan bekas pemimpin veteran itu dan keluarganya di luar negara kemungkinan hasil daripada projek kerajaan.

Difahamkan siasatan ke atas bekas Menteri Kewangan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang tindakan pembekuan aset dilaksanakan oleh suruhanjaya tersebut.

Dalam pada itu MalaysiaGazette sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan lanjut berhubung perkara ini daripada Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim.

Pandora Papers, antara lain menyebut kira-kira 12 individu di Malaysia, termasuk empat ahli politik antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang dikesan menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset serta kekayaan mereka yang dikhuatiri bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers pada Sidang Dewan Rakyat pada 2021.

Presiden PKR itu juga pernah mendakwa Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul yang dibawa oleh beliau, selain bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai ‘peguam bela’ kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.

Anwar juga menyatakan bahawa pendedahan Pandora Papers itu adalah suatu perkara nasional yang perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera di Parlimen kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion ringgit. – MalaysiaGazette