KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0.
Bagaimanapun, tertuduh, S Ratah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin sebentar tadi.
Ratah didakwa telah memperdayakan Perkeso dengan membuat tuntutan sebanyak RM1.9 juta antara 3 Mei dan 6 Mei 2021 di Wisma Perkeso Jalan Tun Razak di sini.
Dalam kertas pertuduhan itu, Ratah yang merupakan pemilik syarikat Star Skill Sdn Bhd memberi borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama syarikat itu, bertarikh 3 Mei dan 6 Mei 2021 kepada ejen dan pegawai Perkeso.
Dia didakwa dengan sengaja menipu dan memperdaya Perkeso dengan mengemukakan borang pengesahan pernyataan palsu melibatkan 12 nama dalam borang senarai pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry kemudian menawarkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.
Mohamad Fadly turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.
Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Tarlochan Singh Dhaliwal memohon pengurangan wang jaminan sehingga RM20,000 memandangkan syarikat anak guamnya muflis ketika ini.
“Anak guam saya juga tidak mempunyai pendapatan tetap selain sedang berdepan dengan beberapa masalah kesihatan,” ujarnya.
Andai disabit kesalahan, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan syarat tambahan dan sebutan tarikh semula kes pada 14 Mac depan. – MalaysiaGazette