Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Putrajaya akan tetap menghantar pasukan bagi membantu Syria dalam menghadapi gempa bumi di negara itu walaupun terdapat sekatan daripada Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sudah menghantar bantuan ubat-ubatan kepada Syria sebelum sekatan terhadap negara itu dibuat oleh AS.

“Dana (RM20 juta) itu kita putuskan untuk bantu Syria dan kirim alat ubatan walaupun ketika itu AS belum memberikan pelepasan.

“Soal kemanusiaan dan bantuan kepada mereka (rakyat Syria) itu kita tidak hiraukan dasar AS dan kerajaan Malaysia dalam mesyuarat kita telah tetapkan akan kirim pasukan membantu sebaik sahaja ada sambutan daripada kerajaan Syria,” jawab Anwar dalam sesi soal jawab Perdana Menteri(PMQ) di Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang mahu tahu mengenai pendirian Kerajaan Perpaduan mengenai tragedi gempar bumi yang turut melanda negara bergolak, Syria.

Dalam pada itu, Anwar berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan menghantar kelengkapan hospital sebagaimana yang dihantar ke Turkiye.

“Menteri Pertahanan menjelaskan untuk bawa satu kelengkapan hospital daripada ATM untuk dipasang di Syria,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, AS melonggarkan sekatan ke atas Syria bagi membolehkan bantuan bagi membantu mangsa bencana gempa bumi disalurkan segera.

Penganalisis kanan di Kumpulan Krisis Antarabangsa AS, Delaney Simon berkata, walaupun perbendaharaan AS memberi pengecualian 180 hari bagi transaksi berkaitan bantuan bencana itu, langkah terbabit hanya memberi impak kecil terutama di wilayah yang terjejas teruk dan dikuasai pihak pemberontak. – MalaysiaGazette