Johari Abdul Ghani.- foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi yang kini pada kadar 6.3 peratus boleh meningkat sehingga 12 peratus sekiranya subsidi tidak diberikan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, gaji purata rakyat telah berkurangan daripada RM2,300 pada 2018 kepada RM2,250 pada 2021 iaitu kejatuhan sebanyak 2.4 peratus.

Menurut beliau, dengan kadar inflasi sebanyak 6.3 peratus dan pendapatan purata jatuh sebanyak 2.4 peratus bermakna kuasa beli pengguna turut mengalami kemerosotan sebanyak 8.7 peratus.

“Ini juga konsisten dengan statistik yang saya baca dari segi underemployment kerana telah jatuh, tidak berkembang dan kena berdepan dengan inflasi selama tiga tahun 6.3 peratus.

“Saya tidak boleh bayang kalau inflasi 6.3 peratus ini tanpa subsidi yang begitu banyak diberi. Saya ingat 6.3 peratus ini boleh jadi mungkin (meningkat) 10 atau 12 peratus.

“Tapi subsidi ini tak sustainable (berdaya mampan) kita kalau tak ada duit dan tak control subsidi juga boleh jadi masalah. Kuasa membeli juga akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan usul menjunjung kasih atas titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan dan tokoh korporat berkata, pada ketika ini 20 peratus atau 640,000 isi rumah golongan M40 telah jatuh ke golongan B40 selepas pandemik Covid-19 melanda pada 2019.

“Manakan kadar kemiskini telah meningkat daripada 5.6 peratus kepada 8.4 peratus.

“Iaitu penambahan sebanyak 235,000 daripada 405,000 isi rumah telah meningkat kepada 640,000 isi rumah miskin,” kata Johari.

Sementara itu beliau menjangkakan harga barang juga akan meningkat sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan sekarang.

Ini berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan pengenalan GST akan menyebabkan harga turut meningkat.

“Apabila GST dilaksanakan sebelum ini terdapat kenaikan drastik dan ia dipanggil kenaikan satu kali dalam stok dan bahan mentah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu).

Johari berkata, GST hanya boleh diperkenalkan pada masa yang sesuai supaya tidak memburukkan lagu kadar inflasi yang sedang dihadapi negara. – MalaysiaGazette