Syarikat Kembara Ziarah Travel & Tours Sdn Bhd, PT Permata Sahara Wisata dan Lion Group Indonesia akan menjalinkan kerjasama menerusi MoU di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Bagi langkah meningkatkan promosi produk pelancongan Muslim antara Aceh dan Kuala Lumpur, Syarikat Kembara Ziarah Travel & Tours Sdn Bhd, PT Permata Sahara Wisata dan Lion Group Indonesia akan menjalinkan kerjasama.

Kerjasama itu dilihat akan dapat menangani sindiket penipuan dan orang tengah yang menaikan harga tiket penerbangan termasuk bagi pakej umrah.

Bagi langkah permulaan, produk utama ialah Pakej Umrah, Lion Group Indonesia menyediakan penerbangan alternatif.

Syarikat Kembara Ziarah Travel & Tours Sdn Bhd berperanan selaku ejen jualan tunggal bagi tempahan tiket berkumpulan (Sektor Umrah) di Malaysia.

Manakala PT Permata Sahara Wisata, selaku Penyelia Operasi dan Pelayan di terminal Indonesia khususnya di Lapangan Terbang Aceh dan Kuala Namu di Medan Indonesia.

Dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini semalam, Lion Group Indonesia diwakili Dr. Ricky Alfanda, Kembara Ziarah Travel & Tours diwakili Pengarah Urusannya, Jafni Hashim dan PT Permata Sahara Wisata diwakili oleh pengarahnya, M.Iqbal Nyak Umar.

Disaksikan oleh Penasihat Kembara Ziarah Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Dr. Shuhaimi Ismail yang juga merupakan mantan Ketua Rombongan Perubatan Tabung Haji.

Selain itu turut hadir adalah Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Bahagian Haji dan Umrah, Mohd Azri Abd Razak dan Pengerusi MATTA Kuala Lumpur.

Manakala dari Indonesia MoU itu disaksikan oleh Wakil Kepala Dinas Pariwisata atau Dewan Perwakilan Rakyat Kota Banda Aceh dan Juli Aspita dan wakil pengurusan Lion Air Indonesia.

“Termeterainya MOU ini bukan sahaja untuk memprosikan Produk Pelancongan Muslim, ia juga bagi mengatasi kesukaran mendapatkan tiket penerbangan yang melibatkan pakej umrah.

“Selain itu, ia juga turut mempromosikan segala kemudahan kemudahan lain untuk mereka yang ingin menunaikan umrah,” kata satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu juga akan melancarkan perjalanan umrah dalam kalangan rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia.

Secara tidak langsung, ia juga sebagai langkah mempromosi produk pelancongan dua hala.-MalaysiaGazette