Menteri Sains Dan Teknologi, Chang Lih Kang bercakap pada sidang media pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Lesen operasi Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) akan ditarik balik sekiranya empat syarat lesen kepada syarikat tersebut tidak dapat dipenuhi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, perkara itu boleh dilakukan selepas kerajaan meluluskan lesen itu bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.

“Sekiranya Lynas gagal untuk mematuhi empat syarat berkenaan, lesen mereka akan ditarik balik. Semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Empat syarat berkenaan adalah berkaitan aktiviti cracking & leaching (C&L), penjanaan residu Water Leach Purification (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia serta pembinaan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

“Lynas perlu mematuhi syarat yang telah dikenakan sejak Mac 2020 supaya aktiviti cracking & leaching yang mana menghasilkan sisa radioaktif akan dijalankan di Australia dan tiada aktiviti ini dilakukan di Gebeng, Pahang selepas bulan Julai 2023.

“Aktiviti lain yang tidak melibatkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan untuk terus beroperasi, dalam erti kata lain, tiada lagi sisa radioaktif tambahan daripada Lynas selepas bulan Julai 2023,” ujar Lih Kang.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, sejak Lynas beroperasi di Malaysia pada tahun 2012, syarikat itu telah menghasilkan
kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif (residu WLP).

“Jumlah sisa ini dijangka akan mencecah 1.2 juta metrik tan sehingga Julai 2023,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, Lynas boleh mengemukakan rayuan kepada kerajaan sementara mendapat lanjutan lesen selama tiga tahun.

“Mereka boleh membuat rayuan untuk melanjutkan tempoh itu dan kita akan tunggu dan lihat sama ada mereka akan buat rayuan atau tidak,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kecewa biar pun lesen operasinya telah diperbaharui.

Lesen yang sudah diperbaharui itu diberikan tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020 yang mana melarang mengimport dan memproses pemekat lantanid selepas 1 Julai 2023, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast