Dr Muhamad Akmal Saleh. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Melaka akan menjadi negeri pertama menghantar pasukan perubatannya untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu diputuskan setelah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini meluluskan untuk melancarkan tabung kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di negara itu.

“Alhamdulilah satu tabung kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye akan dilancarkan kerajaan negeri dalam beberapa hari ini yang telah diluluskan di dalam mesyuarat Exco hari ini.

“InsyaAllah pasukan perubatan kami bercadang akan bergerak ke sana pada minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, jika semuanya berjalan lancar, Melaka adalah negeri pertama menghantar pasukan perubatannya untuk membantu mangsa bencana di 10 wilayah yang terjejas di negara itu.

“Ya, kita adalah negeri pertama menghantar pasukan perubatan dan esok kita akan memperincikan jumlah keanggotaan yang bakal menyertai misi ini.

“Ini termasuklah kemungkinan melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) selain pasukan perubatan daripada Jabatan Kesihatan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette