KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin akan mengadakan lawatan kerja ke The Hague, Belanda selama dua hari mulai hari ini.
Ini merupakan lawatan kerja pertama beliau ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri pada 9 Disember lalu.
Sepanjang lawatan Mohamad akan mewakili Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke segmen peringkat menteri di Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan Bertanggungjawab (AI) Dalam Domain Ketenteraan (REAIM 2023) di Pusat Konvensyen Forum Dunia di The Hague.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kerajaan Belanda akan menghoskan REAIM 2023 secara bersama dengan kerajaan Republik Korea.
Persidangan itu memberi platform kepada pelbagai pemegang taruh termasuk negara seperti Malaysia bagi membincang serta mengutarakan pandangan terhadap isu berkaitan dengan pengaplikasian AI dalam bidang ketenteraan.
Dalam pada itu, Mohamad dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Belanda, Paul Huijts.
Selain itu, beliau dijadualkan bertemu dengan pegawai Kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia di The Hague.
“Lawatan ini akan memberikan peluang yang baik kepada Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama dengan Belanda serta meneroka bidang kerjasama baharu dengan berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.
Pada 2022, Belanda merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan rakan dagangan kedua terbesar di kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).
Jumlah dagangan Malaysia bersama Belanda bernilai RM48.04 bilion (USD10.93 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding tahun 2021. – MalaysiaGazette