Nurul Izzah sekretariat
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media Mengenai Prestasi Ekonomi Malaysia dan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 di Menara Prisma, Putrajaya.Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan memberi nilai tambah kepada Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau difahamkan sekretariat tersebut dianggotai oleh tokoh-tokoh dan pakar-pakar ekonomi.

“Saya sebenarnya lebih cenderung bahawa Nurul Izzah dengan adanya sekretariat itu tugas itu akan dapat dilaksanakan secara lebih baik bersama-sama kerana kita ada pandangan dan kepakaran pada semua pihak dalam sekretariat itu.

“Kita harap perkara-perkara dasar yang diputuskan oleh kerajaan, pelaksanaan dan juga pandangan pelbagai pihak itu akan dapat mempercepatkan pelaksanaan yang akan dilakukan di pihak kerajaan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Ekonomi, Menara Prisma, di sini, hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Tan Sri Hassan Marican memaklumkan, Nurul Izzah dijemput untuk mengetuai sekretariat secara bersama dengan Khairil Anuar Ramli.

Sementara itu, berhubung rayuan pelbagai pihak agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, Rafizi berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan jaringan keselamatan sosial mencakupi segenap lapisan rakyat.

Beliau percaya pengeluaran caruman KWSP secara bersasar atau pukal hanya langkah penyelesaian sementara untuk masa terdekat sedangkan ia boleh menimbulkan masalah lain pada hari tua kelak.

“Ia seperti Panadol kalau kita ambil, kalau kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bersasar atau tidak bersasar, sementara ia mungkin menyelesaikan masalah pada umur 30, 40 tahun tetapi sebenarnya ia menggali lubang masa umur 50, 55 dan 60,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pandan itu juga bimbang kesan sampingan yang berpanjangan akan berlaku terhadap rakyat dan ekonomi negara sekiranya cadangan tersebut diluluskan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus tahun lalu sekali gus mencerminkan prestasi yang memberangsangkan dan mencerminkan daya tahan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 2.9 peratus tahun ini berbanding 3.4 peratus tahun lalu.

Menurut beliau, kerajaan sedar mengenai keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar justeru program-program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi.

“Kementerian Ekonomi juga meletakkan kedua-dua perkara ini sebagai fokus penambahbaikan dasar-dasar ekonomi negara dan program-program ekonomi rakyat yang mengambil pendekatan pelaksanaan bersepadu.

“Dasar-dasar bersabit penggajian rakyat akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri supaya dasar negara diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh kepada semua golongan pekerja,” jelasnya.

Rafizi turut mengumumkan, Kementerian Ekonomi akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari ini dengan menyasarkan golongan miskin tegar dan keluarga B40. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast