Iklan gambar kucing siam bewarna kelabu yang diiklankan untuk dijual pada harga RM900

MELAKA – Seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri di sini diugut bunuh selepas enggan menuruti permintaan individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian.

Mangsa lelaki berusia 50-an berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 5 Februari lalu ketika beliau berurusan dengan seorang individu menggunakan nama Marzuki di Facebook untuk urusan pembelian seekor kucing Siam.

Menurutnya, iklan berkenaan meletakkan gambar seekor kucing Siam bewarna kelabu untuk dijual pada harga RM900 namun diberi harga diskaun RM400 membuatkan anaknya tertarik untuk memilikinya.

“Selepas berurusan di FB Messanger, dia meminta saya membuat bayaran deposit berjumlah RM200 dan saya menjelaskannya secara pindahan dalam talian pada malam hari sama.

“Namun keesokan harinya saya mendapat pesanan dari WhatsApp mengunakan nombor luar negara meminta saya membuat tambahan bayaran untuk kuarantin kucing berjumlah RM450,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

E Sundra Rajan

Menurutnya, selepas berunding, individu terbabit bersetuju memberi diskaun dan hanya perlu membayar RM200 membuatkan beliau sekali lagi memindahkan wang ke nombor akaun yang sama.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran, beliau menerima satu lagi pesanan daripada nombor berbeza yang meminta penambahan baki wang RM500 untuk meneruskan pembelian kucing siam itu.

“Berasa seperti ada yang tidak kena, saya tidak menuruti permintaan itu membuatkan individu itu mengugut saya dengan membuat ugutan jenayah.

“Ugutannya adalah “jika saya tidak buat bayaran seperi diminta, kepala dia atau kepala saya akan dipenggal,” katanya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada hari sama selepas menyedari ditipu melibatkan kerugian RM400.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E. Sundra Rajan ketika dihubungi mengesahkan laporan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast