Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah rumah kosong di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal, Melaka pagi tadi. - Gambar ihsan bomba.

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah rumah kosong di Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 11.50 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun itu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu lori muatan tiga tan berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penguasa Bomba Kanan II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasa berhubung kejadian itu pukul 11.54 pagi.

“Sebanyak dua jentera dari BBP Ayer Keroh dibantu BBP Alor Gajah dengan kekuatan 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) didapati sebuah lori muatan tiga tan dipercayai terbabas dan melanggar sebuah rumah kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Fadhil, anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum operasi terkawal pada pukul 12.39 tengah hari.

Tambahnya, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette