Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Guru diberi autonomi memilih sama ada untuk merekod dan melaporkan tahap penguasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) murid sesi akademik 2022/2023 dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) secara luar talian atau hibrid.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya membuat keputusan itu atas keprihatinan isu yang dihadapi guru dalam merekod dan melaporkan tahap penguasaan PBD.

Sehubungan itu, templat baharu untuk pengisian PBD bagi pelaporan ujian akhir sesi akademi 2022/2023 secara luar talian akan disediakan sebagai alternatif.

“Kementerian komited mengurangkan beban tugas guru dan memastikan kebajikan guru terpelihara,” kata kenyataan itu.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan SPPB ditutup hujung minggu ini bagi tujuan menambahbaik sistem berkenaan agar tidak menjadi tekanan kepada guru.

Ujarnya, beliau menerima banyak aduan dan keluhan berkaitan sistem itu yang tidak dapat berfungsi sepertimana diharapkan guru.

“Bagi pihak KPM, saya amat kesal dan memohon maaf atas kesulitan dan tekanan yang terpaksa dilalui oleh para guru.

“KPM akan mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan pasukan pegawai di peringkat daerah dan negeri untuk ke sekolah-sekolah bagi membantu guru mengemaskini data dan melengkapkan proses kerja berkaitan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. saya nak Tanya kpm kenapa kertas jawapan akhir tahun utuk tahun ini tidak bole si bwak balik…mungkin lah ad rahsia.saya nak tengok soalan kbat metamatik tahun 4

Comments are closed.