Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid beramah mesra dengan sebahagian pengamal media ketika hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid beramah mesra dengan sebahagian pengamal media ketika hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO melahirkan keyakinan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan meluluskan usul untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu dilahirkan selepas UMNO sudah mengemukakan semua maklumat yang diperlukan RoS berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

“Kita mempunyai tempoh 60 hari untuk RoS respon kepada kita (UMNO) dan saya yakin peraturan mesyuarat UMNO telah diikuti sepenuhnya oleh Pengeruis Tetap UMNO.

“Saya yakin sebelum tempoh 60 hari kita akan memperolehi jawapan yang positif daripada RoS,” katanya dalam sidang media di bilik media Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian yang meminta beliau memperincikan perkembangan terkini mengenai tempoh 60 hari yang diberikan RoS kepada UMNO.

Ia ekoran aduan dua ahlinya pada 20 Januari lalu kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022.

Aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom yang meminta RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Ahmad Zahid sebelum itu meluangkan masa lebih 15 minit bagi meninjau bilik media yang menempatkan para wartawan  membuat liputan sempena sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah menjelaskan tujuan dua pindaan itu dibuat iaitu Fasal 9.3 dan 9.4 iaitu Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta 25 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipilih oleh Perhimpunan Agung tiap-tiap tiga tahun sekali.

“Klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS dan oleh kerana PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO sendiri maka keputusan yang telah dibuat termasuk penambahan usul yang telah dibentangkan oleh pembahas dalam ucapan dasar (Presiden) telah diteliti oleh RoS dan kumpulan peguam kami,” katanya lagi.

Pada PAU2022, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan yang dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawaran presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO akan datang.

Ditanya mengenai Pemilihan UMNO yang akan diadakan kelak, Ahmad Zahid berkata, parti itu kini sudah mula menerima pencalonan daripada mereka yang berminat untuk bertanding.

“Saya mengambil pendekatan jawatan yang dipertandingkan itu terbuka seluas-luasnya untuk disertai yang berminat. Saya harap garis panduan kempen yang telah dihantar oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad hendaklah diikuti sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast