KUALA LUMPUR – Tidak sampai beberapa jam Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor menegur Ahli Parlimen agar menjaga adab dan etika, Dewan Rakyat kembali kecoh dengan isu ‘sembelih orang bukan Islam’.
Ia tercetus apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) tidak berpuas hati dengan istilah itu yang digunakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika membahaskan titah diraja hari ini.
Beliau bangkit sambil mempertikai penggunaan perkataan ‘sembelih’ oleh Guan Eng, sebelum beberapa Ahli Parlimen turut sama berperang mulut.
Suasana semakin tegang apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan mula bangkit mencelah dan ‘menyerang’ kembali Che Mohamad yang seolah-olah sengaja buat tidak tahu mengenai isu ‘sembelih’ yang dibangkitkan Guan Eng.
Alasan mereka kerana terdapat terbukti istilah yang digunakan itu melalui video yang tersebar sebelum ini.
Guan Eng ketika perbahasan memaklumkan menjana pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menjelmakan peluang pekerjaan yang adil, antara penawar kepada racun ekstremis dan rasis yang amat berbahaya dan kini diamalkan penceramah hebat, tetapi langsung tidak prihatin atau jahil prihal ekonomi.
“Rukun Negara yang memupuk semangat muhibah dan ekonomi serta saling menghormati antara kaum harus diberikan penekanan dan jangan sesekali ada ucapan menghasut atau menyalahkan kaum bukan Islam sebagai punca rasuah di Malaysia, apabila rasuah tidak mengenal warna kulit,” katanya.
Namun, suasana bertukar kecoh apabila Ahli Parlimen Bagan itu menyentuh mengenai ancaman ‘sembelih’ terhadap golongan bukan Islam yang didakwanya semata-mata kerana melawan parti politik dan bukannya agama Islam.
Ahli Parlimen Besut ketika mencelah ucapan Guan Eng mendakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu cuba mengelirukan Dewan sambil merujuk Aturan mesyuarat di bawah perkara 36(12), dengan alasan ucapan itu seolah-olah menggambarkan orang Islam akan benar-benar menyembelih bukan Islam dan ia tidak benar sama sekali.
Ketika itu, beberapa Ahli Parlimen kerajaan mencelah mengatakan ada bukti video mengenai ucapan dimaksudkan Guan Eng.
Bagi menenangkan keadaan, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong meminta semua ahli berhormat yang bangkit duduk dan bertenang.
Guan Eng yang diberi laluan meneruskan perbahasan kemudian menyatakan ada bukti video mengenai kenyataan berkaitan ‘sembelih’ itu dan laporan polis mengenainya pun sudah buat.
“Saya harap polis boleh ambil tindakan terhadap ucapan seperti ini,” katanya.
Che Mohamad yang masih tidak berpuas hati terus bangkit sambil menjelaskan mengenai perbezaan antara kafir harbi dan kafir zimmi sambil mendakwa Ahli Parlimen Bagan itu keliru dengan tafsiran kedua-duanya.
Sebelum ini, seorang pelakon memohon maaf susulan kenyataannya yang mahu ‘menyembelih’ orang bukan islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November tahun lalu.
Pelakon itu juga menafikan dirinya terlalu ekstrem seperti kenyataannya yang tular dalam sebuah klip video, malah mendakwa ia disunting oleh pihak tertentu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan siasatan dilakukan susulan kenyataan didakwa berbaur perkauman dan ugutan menerusi video membabitkan pelakon terbabit sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Siasatan dibuka di bawah Seksyen 506, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette