KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen, Nik Suryani Megat Deraman bakal bertanding merebut jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga Ahli UMNO Cawangan Kubang Kepong, Marang, Terengganu  telah menghantar surat pencalonan pada 4.30 petang semalam di Menara Dato’ Onn.

Nik Suryani yang juga isteri kepada Saiful Bukhari Azlan berkata, beliau nekad untuk meneruskan perjuangan dalam Wanita UMNO selepas menjadi ahli sejak 2012.

“Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita UMNO pada negara sejak sebelum merdeka, selain berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun.

“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil saya ini, dan juga seluruh ahli UMNO, parti keramat ini akan terus mara, relevan, sebagai wadah membela Agama, Bangsa dan Tanah Air tercinta,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, hasrat berkenaan turut mendapat restu daripada ahli keluarga dan suami.

Nik Suryani merupakan bekas wartawan dan pembaca berita TV3 yang kini bergiat aktif dalam dunia perniagaan, media dan industri kreatif.

Sebagai rekod, pemilihan bagi jawatan sayap-sayap UMNO, termasuk wanita akan berlangsung pada 11 Mac ini.-MalaysiaGazette