JPJ lesen memandu
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pembaziran dana kerajaan sebanyak RM14.23 juta berlaku berikutan 1.83 juta keping kad lesen memandu yang dicetak oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak digunakan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2, selain itu, kerajaan mengalami kerugian RM149,178 apabila penalti tidak dikenakan atas pelanggaran perjanjian tahap perkhidmatan (SLA).

“Secara keseluruhan, berdasarkan skop audit, terdapat kelemahan dalam pembayaran perkhidmatan mencetak kad Lesen Memandu Malaysia (LMM) melibatkan pembaziran dan kerugian wang awam berjumlah RM14.38 juta.

“Perkara ini berlaku disebabkan oleh kelemahan pemantauan oleh JPJ terhadap peraturan dan perjanjian yang berkuat kuasa,” jelas laporan tersebut.

Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar JPJ memastikan pemantauan terhadap penggunaan stok kad dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan penggunaan adalah secara optimum supaya tidak berlaku pembaziran.

JPJ juga diminta memastikan SLA dipatuhi oleh syarikat dan sekiranya gagal, penalti atau denda dikenakan dengan segera.

Agensi berkenaan juga perlu memastikan pemantauan terhadap perkhidmatan dibuat dengan lebih berkesan dengan mengambil tindakan segera terhadap masalah berbangkit.

Sementara itu, dalam maklum balas yang diterima Jabatan Audit Negara pada 11 Ogos lalu, JPJ menyatakan ia telah membuat penambahbaikan jadual SLA bagi kontrak lanjutan bermula 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2022 bagi membekal dokumen terkawal LMM.

“Melalui surat bertarikh 16 Februari 2022, syarikat perkhidmatan 166151-T telah bersetuju dengan kadar caj denda lewat harian sebanyak RM1,500,” kata JPJ.

Sehubungan itu, JPJ telah mengeluarkan surat tunjuk sebab bertarikh 7 Februari 2022 kepada syarikat perkhidmatan 166151-T bagi memohon maklum balas atas kelewatan pembaikan peralatan selaras dengan SLA yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette