Mangsa kemalangan tercampak dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

SUNGAI PETANI – Seorang jurutera kilang maut selepas motosikal ditunggangnya gagal mengelak sebuah kereta yang membelok masuk ke bangunan kedai di Kilometer 60.4 Jalan Alor Setar – Butterworth di sini, malam tadi.

Kejadian jam 11.20 malam itu mengakibatkan M. Hemraj, 22, maut di lokasi kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka dari arah Central Square menghala ke Lotus Selatan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian pemandu kereta jenis Toyota Vios berusia 45 tahun itu dikatakan bertindak membelok ke kawasan bangunan kedai di sebelah kiri jalan secara mengejut.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Honda CBR500 yang berada di belakang kereta tersebut tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum tercampak ke dalam longkang di bahu kiri jalan” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Zaidy, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang membelok ke kiri secara mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – MalaysiaGazette