Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika hadir pada Program Media ‘Engagement’ Bersama Pegamal Media di Shaftsbury,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri terlibat untuk mengeluarkan negara daripada senarai ‘Tier 3 ‘ dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) behubung isu Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2021.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah berjumpa dengan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia bagi memaklumkan inisiatif diambil negara dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia

“Tadi saya ada engagement (sesi libat urus) dengan Duta AS ke Malaysia dan saya berpeluang maklumkan inisiatif Malaysia ambil dan lihat amalan baik di beberapa negara sebab ia membabitkan beberapa elemen yang sangat jelas iaitu tangkapan, siasatan dan pendakwaan.

“Jadi kesungguhan kita dalam membanteras peemerdagangan manusia ini diukur menerusi tiga komponen ini. Kita berikan perhatian berat kepada perkara ini sebab memang kedudukan tersebut beri banyak disadvantage kepada negara terutamanya sekatan terhadap produk keluaran negara,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Program Libat Urus bersama Pengamal Media, di sini.

Beliau menambah, Sime Darby Plantation yang sebelum ini dikenakan tindakan sekatan produk minyak sawit di AS atas dakwaan menggunakan buruh paksa telah diberikan status bebas dan kini terdapat dua buah syarikat yang berdepan tindakan sama.

Katanya,perkara tersebut sentiasa menjadi keutamaan beliau untuk mencari langkah terbaik menyelesaikannya.

“Justeru, di peringkat kementerian memang kita ada memberikan tugasan kepada beberapa pegawai kanan KDN diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Dasar dan Kawalan) iaitu Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa.

“Perbicangan kita dengan pihak Jabatan Negara AS kita telah mulakan dan ada lawatan pun pada hujung tahun lepas oleh TKSU dan kita memberikan perhatian berat kepada perkara ini ,” ujarnya. – MalaysiaGazette