KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalamannya ketika menemui Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menzahirkan solidariti dan semangat persaudaraan rakyat Malaysia dengan rakyat Turkiye berikutan bencana yang melanda negara itu.
Perdana Menteri berkata, sewaktu pertemuan bersama Tayyip, beliau turut menyampaikan rasa simpati, empati dan ihsan warga Dewan Rakyat mengenai bencana yang berlaku di Turkiye.
Pada masa sama, Kerajaan Turkiye turut menzahirkan penghargaan kepada Agong, kerajaan dan Parlimen Malaysia atas bantuan, ucapan takziah berikutan bencana gempa bumi
Menurutnya, rakyat boleh berbangga dengan kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di kawasan tersebut kerana telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa.
“Pihak kerajaan juga ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan berdasarkan kepada solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang terjejas di Turkiye.
“Ia melibatkan Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi-agensi lain yang terlibat.
“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ingin saya sampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, individu dan semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri-Mentri Di Bawah Peraturan 14 (1)(I) Pada 16 Februari 2023 Berhubung Lawatan Ke Turkiye.
Anwar menambah, maklumat terbaharu mengesahkan jumlah korban terkini adalah sebanyak 41,232.
Jelas beliau, ini melibatkan jumlah korban di Turkiye seramai 35,418 dan di Syria seramai 5,814.
“Bagi Ops Syria, Kerajaan telah menghantar Pasukan Peninjau yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala, KLN) delegasi seramai 21 orang yang terdiri dari pelbagai agensi dan NGO.
“Dua buah pesawat ATM akan dihantar ke Syria bagi misi bantuan ini yang akan berlepas pada Sabtu ini pukul10 malam. Penerbangan ini dijangka tiba di Damsyik pada Ahad pukul 10 pagi (waktu tempatan),” katanya.
Anwar secara peribadi turut menganggap seluruh mereka yang terlibat dalam misi khas mencari dan menyelamat ini sebagai mereka yang amat cekal dan berani.
“Kecekalan mereka untuk berkhidmat di kawasan pusat-gempa (epicentre); berhadapan dengan cuaca yang ekstrem dan situasi yang amat berbahaya kerana struktur bangunan yang tidak stabil berikutan gempa susulan yang masih berlaku merupakan pengorbanan yang luar biasa,” katanya.
Setakat ini kekuatan Team Malaysia yang berada di ground zero di bawah SMART adalah seramai 140 anggota manakala yang berada di Hospital Medan di Adiyaman adalah seramai 110 anggota. – MalaysiaGazette