Suhaimi Abdullah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Suhaimi Abdullah yang menewaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 memohon maaf kepada bekas perdana menteri itu di Parlimen, hari ini.

Dalam ucapan yang penuh emosi, Suhaimi berkata, sebagai orang luar beliau tidak menyangka dapat menewaskan Pengerusi Gerakan Tanah Air itu.

Malah menurut Suhaimi, dia juga tidak bermimpi untuk menyebabkan Mahathir kehilangan deposit pada pilihan raya berkenaan kerana tewas teruk.

“Saya faham dan memahami tinggal tiga hari penduduk Langkawi marah kerana saya bukan local player. Tapi berkat Perikatan Nasional maka kita telah menang di Langkawai dengan berjaya.

“Saya mengucapkan rasa sedih terhadap ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya tidak menyangka dan tidak pernah bermimpi bahawa Tun akan kehilangan deposit,” katanya ketika ucapan perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Dalam ucapan pertama di Parlimen, Suhaimi berkata, beliau terpaksa menentang Dr. Mahathir biarpun beliau merupakan presiden sekolahnya kerana mematuhi arahan parti.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menghadiahkan pantun kepada Mahathir yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh ahli Parlimen.

“Saya minta ampun dan maaf kerana Tun juga Presiden sekolah saya Kolej Sultan Abdul Hamid dan semasa hari penamaan calon saya mencium tangan Tun dan saya minta maaf.

“Kerana ini keputusan parti yang meletakkan saya di Pulau Langkawi dan saya sayang kepada Perikatan Nasional dan presiden saya maka saya letakkan kepala saya di Langkawi.

“Kepada Tun, Pulau Langkawi jauh ke tengah, Gunung Mat Cincang bercabang tiga, walau badan dihancur tanah, budi baik Tun dikenang juga,” ucap beliau.

Pada PRU15, Mahathir hilang deposit kerana sekadar meraih 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Suhaimi menang dengan majoriti 13,518 undi, sekaligus merampas kerusi yang disandang Mahathir.

Calon Pejuang kalah dan hilang deposit di semua 125 kerusi ditandingi mereka pada PRU15. Ia termasuk anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz yang tewas di Jerlun. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Menang sbb nasib je tu.. sbb tak dak pilihan. Nak tengok pru 16 menang ke dak? Tu pun kalu masih ada di bumi yang fana ini.

  2. mahathir yang jadi PM 2 KALI tumbang dan hilang deposit dengan calon tidak ternama tu kerana Nasib Juga…. Tu pun kalu masih ada di bumi yang fana ini…mahathir boleh lawan balik nanti

    MP ini berjiwa besar walaupun mengalahkan TUN…masih BERBAHASA dan mohon maaf BUKAN HIDUNG TINGG seperti ZAHID HAMIDI MUNAFIK serta SEKUTUNYA UMnoNgok yg kecundang….yang bersumpah NO ANWAR NO DAPIGS…AKHIRNYA menJUBURI NASIB dengan ANWAR

Comments are closed.